1.1 mana pemimpin sesebuah negara akan dipilih melalui

1.1           
Pengenalan

Setiap negara di dunia memiliki sistem pentadbiran
mereka yang tersendiri dalam mentadbir sesebuah negara. Sistem pentadbiran yang
dipilih memiliki kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Sistem
pentadbiran tersebut dianggap sebagai satu sistem pentadbiran yang boleh
membantu menjaga keharmonian negara mereka sendiri tanpa perlu campurtangan
daripada negara lain. Antara sistem pentadbiran yang digunapakai di kebanyakkan
negara adalah sistem demokrasi.

We Will Write a Custom Essay Specifically
For You For Only $13.90/page!


order now

 

Sistem demokrasi merupakan satu
sistem pentadbiran yang menekankan kepada corak pentadbiran berdasarkan kepada
undian dan suara majoriti rakyat yang mana pemimpin sesebuah negara akan
dipilih melalui pilihan raya. Setiap rakyat diberikan hak untuk menentukan
sendiri pemimpin yang mereka anggap sebagai layak untuk mentadbir negara
melalui undian secara percuma dan bebas semasa pilihan raya yang diadakan dalam
satu tempoh yang tertentu (Lipset dan Lakin, 2004).

 

Tambahan lagi, sistem demokrasi
merupakan satu pemerintahan yang menggalakkan rakyat untuk bersuara melalui
perwakilan yang telah mereka pilih semasa pilihan raya bagi membantu mereka
menyuarakan pendapat atau keinginan mereka kepada pihak atasan atau pucuk
pimpinan negara (Ahmad Redzuwan, 2001). Terdapat dua jenis sistem demokrasi
iaitu sistem demokrasi jenis pemerintahan berpresiden dan sistem demokrasi
jenis pemerintahan berparlimen.

Sistem demokrasi berpresiden merupakan sistem
demokrasi yang mengamalkan kepada corak pemerintahan yang tidak menggunakan
sistem beraja tetapi lebih kepada jawatan tertinggi di dalam sesebuah negara
adalah dipegang dan dikuasai oleh seorang presiden yang dipilih daripada rakyat
sendiri melalui pilihan raya seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat (Vora
Elly, 2013).

 

Manakala, sistem demokrasi
berparlimen atau dikenali juga sebagai sistem demokrasi kabinet merupakan satu
sistem yang masih lagi mengekalkan kuasa raja sebagai ketua negara dan dibantu
oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri dan lain-lain menteri mengikut portfolio
masing-masing (Ahmad Redzuwan, 2001).

                            

Malaysia merupakan salah sebuah
negara yang mengamalkan corak sistem pemerintahan demokrasi dalam mentadbir
urus negaranya dan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia merupakan sistem
demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan ini
merupakan satu sistem pemerintahan yang tidak terlalu mengikut acuan
kebanyakkan negara barat kerana ianya merupakan satu sistem yang diadaptasi dan
disesuaikan mengikut keperluan di Malaysia (Ahmad Zaharudin Sani dan Aminuddin,
2014).

 

Sistem pentadbiran demokrasi yang
diamalkan di Malaysia adalah berasaskan kepada amalan Westminister, England yang
mana sistem kerajaan dipilih secara bebas daripada kalangan rakyat sendiri.
Pemilihan wakil rakyat ini dilakukan dengan telus melalui undian dan calon yang
memiliki undian terbanyak dianggap sebagai menang dan akan duduk di Dewan Rakyat
bagi menyuarakan kehendak rakyat yang diwakilnya dan berpeluang untuk dilantik
sebagai menteri (Ahmad Zaharudin Sani dan Aminuddin, 2014).

 

Melalui sistem pemerintahan
demokrasi berparlimen, kerajaan Malaysia telah melakukan pengasingan kuasa yang
mana ianya terdiri daripada tiga bahagian iaitu legislatif (pengubalan
undang-undang), kehakiman (pelaksana undang-undang) dan kuasa eksekutif
(pentadbir kerajaan berdasarkan kepada undang-undang). Kabinet atau jemaah
menteri pula merupakan sebuah badan eksekutif yang diketuai oleh perdana
menteri dan ahlinya pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat
Perdana Menteri  yang terdiri daripada
ahli Dewan Rakyat atau ahli Dewan Negara (Ahmad Zaharudin Sani dan Aminuddin,
2014).

 

Perdana Menteri memperuntukkan
portfolio bagi setiap menteri dalam kerajaan. Selalunya, ini dilakukan secara
perbincangan dengan timbalan perdana menteri di mana perdana menteri dan timbalan
perdana menteri adalah pihak yang sama. Dalam kes negara, perdana menteri bukan
sahaja memperuntukkan portfolio tetapi juga memilih anggota kabinet secara
efektif dalam pemilihan khusus untuk kabinet dan juga memperuntukkan portfolio
di luar kabinet kepada beberapa orang yang mungkin gagal mendapatkan sokongan
yang mencukupi dalam pilihan raya kabinet (Palmer, 2006).

 

Melalui pengasingan kuasa ini, setiap menteri yang
telah dilantik akan memainkan peranan mereka untuk mentadbir urus kementerian
mengikut fortfolio mereka masing-masing. Justeru, melalui pengasingan kuasa
ini, setiap menteri akan memikul tanggungjawab mereka berlandaskan kepada
doktrin tanggungjawab menteri tersebut.

 

1.2           
Doktrin
Tanggungjawab Menteri

Doktrin
tanggungjawab menteri merupakan satu doktrin yang digunapakai di Malaysia bagi
membantu menteri untuk memahami bidang tugas mereka mengikut jawatan yang
mereka sandang. Doktrin tanggungjawab menteri ini meliputi tanggungjawabnya
secara individu dan juga secara bersama:

 

1.2.1    Doktrin Tanggungjawab Menteri secara
Individu

Kerajaan
telah membentuk organisasinya yang tersendiri dan membahagikannya kepada
beberapa bahagian organisasi yang lebih kecil lagi mengikut bidang kuasa
masing-masing. Ini bertujuan untuk mengelakkan pertindihan kuasa dan melancarkan
lagi pengurusan pentadbiran kerajaan. Tanggungjawab menteri secara individu
merupakan tanggungjawab yang perlu digalas ke atas setiap situasi yang berlaku
di bawah kementerian yang telah di berikan kepadanya.

 

Dalam
erti kata lain, ini bermaksud seorang menteri telah ditugaskan untuk memantau
setiap pergerakan yang berlaku di dalam kementeriannya sendiri tanpa perlu
memikirkan atau mengulas berkenaan dengan bidang kuasa menteri lain dan apa-apa
jua bentuk pandangan terhadap atau campurtangan ke atas kementerian yang bukan
bidang kuasanya (Lim, 2002). Ini bertujuan untuk mengecilkan lagi skop tugas
seorang menteri dan meringankan beban mereka agar mereka lebih memfokus
terhadap kementerian yang mereka sandang dan dapat memberikan sepenuhnya perhatian
terhadapat pelbagai isu di dalam kementeriannya sendiri bagi menjamin
kesejahteraan rakyat dari masa ke semasa.

 

Tambahan
lagi, menurut Jennings (1969) tanggungjawab menteri secara individu diberikan
penekanan ke atas setiap menteri adalah bagi membantu menteri dan jenteranya
untuk lebih proaktif di dalam mencari alternatif untuk membangunkan setiap pembangunan
yang perlu diwujudkan atau diperbaiki di dalam kementeriannya sendiri. Keadaan
ini secara langsung, mendesak menteri untuk memastikan bahawa penjawat awam
yang berada di bawah kementeriannya melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut
undang-undang dan berjalan dengan lancar.

 

Ini
kerana, ketidaklancaran dan kesalahan atau masalah yang berlaku di dalam
kementerian, seorang menteri yang telah dipertanggungjawabkan untuk memegang
fortfolio tersebut akan turut bertanggungjawab untuk menyediakan jawapan
terhadap persoalan yang timbul semasa berada di dalam parlimen.

 

 

 

1.2.2    Doktrin Tanggungjawab Menteri secara Bersama

Selain
daripada tanggungjawab menteri secara individu, menteri juga terikat kepada
doktrin tanggungjawab menteri secara bersama. Ini kerana, tanggungjawab menteri
secara individu juga merupakan subordinat kepada tanggungjawab menteri secara
bersama (Jennings, 1969). Doktrin tanggungjawab menteri secara bersama boleh
dedifinasikan sebagai satu suara yang telah dipersetujui secara bersama atau
dengan erti kata lain sesuatu keputusan yang telah dipersetujui secara majoriti
di dalam parlimen.

 

Di
dalam parlimen, ahli kabinet bertanggungjawab dalam mempertahankan sesuatu isu
dan perlu bertanggungjawab secara bersama kepada parlimen seperti yang telah
termaktub di dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan (Undang-Undang
Malaysia, 2003). Doktrin tanggungjawab menteri secara bersama merupakan satu
bentuk tanggungjawab bersama yang telah dibuat di dalam parlimen perlulah di
beri perhatian dan dilaksanakan dengan sebaiknya oleh menteri dan kakitangan
awam yang berada di bawah bidang kuasanya.

 

Setiap
perkara yang telah diputuskan oleh parlimen menuntut menteri untuk turut serta
menyokong dan melaksanakannya bagi membantu dalam meningkatkan lagi
kesejahteraan rakyat. Menteri perlu bersama-sama membantu kerajaan dalam
memastikan pelan rancangan kerajaan dapat di capai dengan lancar dan jayanya bagi
menyelaraskan tindakan menteri sebagai anggota kabinet yang bersatu padu dan
saling menyokong. Selain itu, tanggungjawab menteri secara bersama juga
menuntut agar menteri mengambil langkah yang proaktif dengan menganggap bahawa
keputusan yang telah dibuat oleh parlimen merupakan kesediaan menteri di dalam
menerima tanggungjawab untuk mempertahankan setiap keputusan yang telah di buat
secara bersama.

 

Ini
kerana, menurut Rhodes et. al (2009),
 apabila sesuatu keputusan telah
diputuskan di parlimen, menteri perlu akur dan berusaha untuk mempertahankan
keputusan tersebut dengan menganggap bahawa keputusan tersebut merupakan
keputusan yang telah dipersetujui bersama dan sanggup untuk menerangkannya
kepada rakyat. Langkah ini biasanya akan dilakukan oleh perdana menteri yang
mana perdana menteri merupakan ketua pemimpin negara dan bertanggungjawab dalam
menerangkan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap sesuatu isu walaupun
kadangkala isu tersebut hanya menjurus kepada kementerian tertentu.

 

Menurut
Thiebault (1994), seorang perdana menteri memiliki kuasa timbang tara yang mana
jika terdapat percanggahan pendapat di antara ahli kabinet, perdana menteri
boleh menggunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk membuat keputusan.
Justeru, menteri yang tidak mahu memberikan kerjasama dan menyokong perdana
menteri terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kabinet dan berkeras untuk
mempertahankan pendapat mereka boleh melakukan tindakan meletak jawatan
daripada kabinet.

 

            Selain itu, perdana menteri turut memiliki
kuasa dalam membuat keputusan yang difikirkan adalah wajar dan dapat menjamin
kesejahteraan rakyat di negara ini dengan merujuk kepada Jabatan Perdana
Menteri tanpa perlu melalui perbincangan dengan menteri kabinet. Doktrin
tanggungjawab menteri bersama membantu dalam menyokong setiap tindakan yang
dilakukan oleh perdana menteri selagi mana tindakan dan keputusan tersebut
memebri manfaat kepada negara dan rakyat.

 

Doktrin
tanggungjawab menteri bersama juga membantu menteri dalam memberikan perlindungan
kepada menteri dan kementeriannya berhubung sesuatu isu yang timbul. Rhodes et. al (2009) menegaskan bahawa
tanggungjawab bersama menteri boleh diibaratkan sebagai perlindungan
keselamatan bagi menteri di bawah bidang kuasa eksekutif untuk melindungi mereka
terhadap risiko yang bakal dihadapi mereka.

 

Tambahan
lagi, doktrin tanggungjawab menteri secara bersama juga menggariskan bahawa
menteri tidak seharusnya campur tangan terhadap apa-apa isu berkenaan dengan
bukan bidang kuasanya iaitu dengan kata lain memberikan maklum balas terhadap
sesuatu isu yang bertujuan untuk kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana,
setiap menteri tertakhluk kepada Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan
walaupun tidak secara jelas namun ianya cukup untuk memberi peringatan kepada
para menteri untuk peka terhadap penglibatan mereka terhadap maklum balas terhadap
sesuatu isu yang dibangkitkan oleh pengamal media.

 

 

1.3           
Keberkesanan
Doktrin Tanggungjawab Menteri Bersama dalam Konteks Kerajaan Malaysia

Seperti kebanyakan
sistem perlembagaan dan politik di negara-negara yang mengamalkan sistem
pentadbiran demokrasi, pengkhususan atau garis panduan terhadap doktrin tanggungjawab
menteri bersama bukanlah sesuatu yang dicipta atau dijelaskan dalam beberapa
undang-undang atau dokumen perlembagaan. Sebaliknya, pemahaman menteri itu
sendiri terhadap konsep tanggungjawab menteri bersama ini adalah hasil daripada
pengasingan kuasa yang diwujudkan dan kesedaran mereka dalam bekerja sebagai
satu kumpulan di peringkat kabinet (Gay dan Powell, 2004).

 

Dalam
konteks kerajaan Malaysia, setiap menteri akan menjaga kementeriannya sendiri
dan melakukan pelbagai transformasi serta penambahbaikan terhadap sesuatu isu
yang timbul di bawah kementerian yang dijaganya. Dengan adanya kesedaran
terhadap doktrin tanggungjawab menteri bersama ini, menteri mula bertindak
untuk menjaga kepentingan mereka dan kementerian di bawah mereka dengan sebaik
mungkin dan menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul dengan lebih bijak dan
berkesan demi kesejahteraan rakyat kerana ianya juga merupakan sebahagian
daripada doktrin kerjasama menteri bersama (Rhodes et. al, 2009).

           

Walau
bagaimanapun, sejajar dengan perkembangan dunia dan kepesatan teknologi
maklumat, setiap kementerian tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai
isu yang timbul. Keadaan ini menuntut mereka untuk lebih proaktif dalam mencari
jalan penyelesaian terbaik bagi menambah baik setiap dasar yang ada demi
menjamin kesejahteraan rakyat bersama. Sebagai sebuah negara yang harmoni,
dapat dilihat bahawa doktrin tanggungjawab menteri bersama tidak memberikan masalah
yang sangat besar sehingga boleh mencetuskan perbalahan di antara ahli kabinet
itu sendiri.

           

Ini
kerana, dapat dilihat bahawa, setiap menteri yang dipertanggungjawabkan untuk
menjaga dan memegang fortfolio masing-masing masih berada dalam keadaan yang
terkawal dan saling menyokong di antara satu dengan lain sejajar dengan
kehendak doktrin tanggungjawab menteri bersama. Ini boleh dikaitkan dengan
majoriti ahli kabinet berada di dalam satu parti yang sama iaitu Barisan
Nasional (BN). Keadaan ini secara tidak langsung memberi keselesaan kepada para
ahli kabinet untuk saling terus menyokong di antara satu dengan yang lain.

 

Ini
disokong dengan kajian yang dilakukan oleh Asmady dan Suzalie (2014) yang menyatakan
bahawa dominasi terhadap hegemoni BN ke atas masyarakat telah sedikit sebanyak
melahirkan prinsip permuafakatan (consociationalism) di kalangan
anggotanya. Ini secara tidak langsung menjadikan anggota kabinet itu sendiri
saling menyokong bagi membuktikan BN sebagai parti yang boleh menerajui pentadbiran
negara. Permuafakatan ini memberikan cerminan yang positif di kalangan ahli
kabinet itu sendiri sebagai satu pasukan dan pemimpim kepada rakyat.

 

Dalam
konteks kerajaan Malaysia juga, sikap tolak ansur dan menghormati undang-undang
juga merupakan salah satu penyebab yang mendorong kepada keberkesanan
pelaksanaan doktrin tanggungjawab menteri bersama. Ini dikaitkan dengan Perkara
43 (3) Perlembagaan Persekutuan (Undang-Undang Malaysia, 2003) semula yang mana
menteri perlu bersatu hati dan bersetuju dengan keputusan kabinet secara
umumnya walaupun pada hakikatnya terdapat menteri yang tidak berpuas hati atau
tidak menyokong keputusan yang telah dibuat oleh kabinet secara peribadi.

 

Walau
bagaimanapun, undang-undang Malaysia membenarkan ahli kabinet untuk meletak
jawatan sekiranya mana-mana ahli kabinet yang menentang secara terbuka dan
tidak mahu mengikut keputusan yang telah dibuat oleh kabinet.

 

1.4           
Penambahbaikan
Doktrin Tanggungjawab Menteri Bersama dalam Konteks Kerajaan Malaysia

Walaupun
secara amnya dapat dilihat bahawa doktrin tanggungjawab menteri bersama ini
diterima baik dan dipatuhi oleh para menteri, namun kepesatan teknologi
maklumat dari semasa ke semasa menjadikan setiap situasi yang timbul semakin
mencabar. Ini ditambah lagi dengan tugas pengamal media yang sering menuntut
pelbagai jawapan bagi kepentingan rakyat. Justeru, penambahbaikan perlu
dilakukan bagi mengingatkan para menteri berkenaan dengan doktrin tanggungjawab
menteri bersama.

 

Antara
penambahbaikan yang wajar dilakukan terhadap doktrin tanggungjawab menteri
bersama dalam konteks kerajaan Malaysia adalah dari aspek penerangan terhadap Perkara
43 (3) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Pindaan terhadap Perkara 43 (3)
Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan dan diberikan nafas baru dengan
memberikan penerangan yang cukup berkenaan dengan tanggungjawab menteri bersama
bagi membolehkan para menteri mengetahui berkenaan dengan tanggungjawab mereka
secara amnya.

 

            Kedua, penambaikan juga harus
dilakukan dari segi campur tangan media terhadap penyiaran maklumat
perbincangan di kabinet secara terbuka dan tidak bertapis. Perbincangan dan penyiaran
maklumat perbincangan di kabinet oleh pengamal media yang juga daripada latar
belakang fahaman politik yang berbeza boleh menyumbang kepada perbalahan di
kalangan ahli kabinet. Ini kerana, cara penyampaian terhadap sesuatu isu dan
penyataan boleh di salah tafsirkan oleh pembaca dan ahli kabinet itu sendiri.

 

Tambahan
lagi, kepantasan teknologi maklumat dan pelbagai medium penyampaian maklumat
seperti aplikasi Instagram, face book
dan tweeter sebagai tempat meluahkan
pandangan secara peribadi turut menjadi satu bentuk ancaman terhadap
kegoncangan kesepaduan di kalangan ahli kabinet itu sendiri. Sehubungan itu,
para menteri perlu diingatkan dari masa ke semasa berkenaan dengan tanggungjawab
mereka dalam menjaga imej serta pandangan mereka walaupun di akaun media sosial
mereka sendiri bagi menjaga kepentingan bersama di kalangan ahli kabinet dan
pimpinan negara.

Sebagai
sebuah negara yang sedang membangun dan negara yang demokrasi, kebebasan
bersuara memberikan ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja di negara ini untuk
menyuarakan pandangan dan ketidakpuasan hati mereka. Namun, ini tidak bermaksud
sesiapa sahaja terutamanya menteri boleh menyuarakan pendapat peribadi mereka
secara kasar dan tidak berhemah sehingga boleh menimbulkan ancaman terhadap
diri sendiri dan keselamatan negara. Rentetan itu, penjagaan terhadap isu-isu
sensetif semasa melakukan hujahan atau pandangan adalah penting bagi
memgelakkan berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

 

1.5           
Kesimpulan

Pengasingan
kuasa yang diamalkan di Malaysia membantu kerajaan Malaysia untuk mentadbir
urus kerajaan dengan lebih kolektif dan berkesan. Ini kerana melalui
pengasingan kuasa yang diamalkan, pertindihan kuasa dapat dikurangkan dan
perbelanjaan negara juga boleh di asingkankan mengikut keperluan setiap bidang
kuasa yang ada. Pengasingan kuasa ini juga penting dalam meningkatkan
keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan semasa rakyat dan mencapai
matlamat yang di sasarkan oleh kerajaan dalam Transformasi Nasional 2050
(TN50).

 

Sejajar
dengan itu, penerapan terhadap kepentingan dan kesedaran para menteri terhadap
doktrin tanggungjawab menteri bersama disamping memfokuskan kepada tanggungjawab
menteri secara individu adalah penting. Ini kerana menteri merupakan tunjang
kepada kepimpinan negara dalam memberikan sokongan dan menimbulkan rasa selamat
serta kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran di Malaysia dan
pelaksanaan dasar yang telah digubal. Sokongan yang padu di kalangan ahli
kabinet dan kesedaran mereka terhadap doktrin tanggungjawab menteri bersama
secara tidak langsung membantu membangunkan dan melancarkan lagi setiap dasar
yang diputuskan dalam kabinet.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2001. Demokrasi dan Kepimpinan Islam Suatu
Perbandingan.

Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Zaharudin Sani Ahmad Sabri
dan Aminuddin Omar. 2014. Demokrasi dan Pilihan Raya

di Malaysia diedit oleh
Abdul Rahman Abdul Aziz. 2014. Demokrasi
di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.

Asmady Idris dan Suzalie Mohamad.
2014. Kelangsungan Dominasi Barisan Nasional di Sabah

Dalam Pilihan
Raya Umum ke-13. Kajian Malaysia, Vol.
32, Supp. 2, 2014, 171–206.

Cora Elly Noviati. 2013. Demokrasi
dan Sistem Pemerintahan. Jurnal
Konstitusi, Volume 10,

No. 2, Jun 2013.

Gay,
O dan Powell, T. 2004. The collective Responsibility of Ministersan Outline
of the Issues.

London: Library Research Papers.

Jennings, I. 1969. Cabinet Government. New York: Cambridge
University Press.

Lim, H. H. 2002. Public
Administration: The Effect of Executive Dominance diedit oleh Khoo.

B.
T. dan Loh. F. 2002. Democracy in Malaysia: Discourses and
Practices. New York:
Routledge.

Lipset, S. M dan Lakin. J. M. 2004.
The Democratic Century. Amerika
Syarikat: University of

Oklahoma Press.

Palmer, G. 2006. The
Cabinet, the Prime Minister and the Constitution: The Constitutional

Background
to Cabinet diedit oleh Palmer, G. 2006. New Zealand Journal of Public and
International Law. New Zealand: Victoria
University of Wellington.

Rhodes, R. A. W, Wanna, J dan
Weller, P. 2009. Comparing Westminister. New
York: Oxford

University
Press.

Thiebault,
J.L. 1994. The Political Autonomy of Cabinet Minister in the French Fifth
Republic

diedit oleh Laver, M dan Shepsle, K. A.
1994. Cabinet Ministers and Parliamentary
Government. New York: Press Syndicate of the University of Cambridge.

Undang-Undang Malaysia. 2003.
Perlembagaan Persekutuan dalam

http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/Perlembagaan%20Persekutuan-Ma.Html
diakses pada 28 Januari 2018.